Kuningan


Kuning.

Adakah itu satu warna yang secara umumnya dianggap sebagai warna alternatif?

Menonton perlawanan bola sepak di antara Borussia Dortmund dan Bayern Munich dalam pusingan terakhir Liga Juara-Juara Eropah, saya rasa agak tertarik kepada teori dan konsep yang tersirat di belakang warna kuning ini.

Pasukan bola sepak Dortmund ini, semenjak beberapa tahun yang lalu, telah dianggap sebagai pasukan sokongan golongan mereka yang ingin menunjuk perasan. Tunjukan perasan tidak semestinya digambarkan sebagai satu perhimpunan haram atau sebagainya, seperti yang ahli politik tertentu inginkan, walaupun kita akan kembali pada isu tersebut kemudian.

Tidak, ini adalah sesuatu yang berkaitan dengan konsep hipster. Hipsterisme, jikalau saya dibenarkan menterjemah perkataan tersebut, juga adalah satu cara pemikiran yang tidak begitu lama wujudnya di alam arus perdana ini (sesuatu yang ironik, kan?).

Bagi mereka yang menganggap diri mereka sebagai seorang hipster atau, dalam konteks ini, sebagai seorang penyokong bola sepak hipster, pilihan pasukan yang telah diutamakan oleh ramai dari golongan tersebut ialah Borussia Dortmund. Sebagai satu kumpulan pemain bola sepak yang unggul, mereka memang layak untuk dikenali sebagai juara tersendiri; walaupun mereka tidak berjaya meraih kemenangan bila bertentangan dengan Bayern, tetapi mereka tidak melupakan prinsip-prinsip mereka.

Dari senarai pemain yang terikat kepada Dortmund buat sementara ini, tidak ada satu pemain pun yang tidak diidamkan oleh kumpulan lain di Eropah. Khabar angin mengenai penyerang utama mereka, Robert Lewandowski, tidak akan meninggalkan mereka sampai titik permulaan musim bola sepak baru sekiranya dia masih ada di sana. Selain dari dia, penjaga gol mereka, Roman Weidenfeller, memberikan satu persembahan yang mantap di Wembley, dan gol jaringan Arjen Robben tidak boleh disalahkan secara keseluruhannya kepada dia.

Pada masa yang sama, cara mereka menjalankan tugas mereka bukan sahaja sebagai kumpulan bola sepak, tetapi juga sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, telah mendapat perhatian yang positif dari ramai pihak.

Tetapi itu bukannya sebab saya menulis ini.

Bukan, sebabnya adalah mereka bermain dengan jersi yang mengutamakan warna kuning.

Ia, memang baju mereka berbelang dengan warna hitam, tetapi pada masa dulu, belang-belang tersebut tidak ada lagi. Saya teringat jersi mereka musim selepas mereka menang Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 1997. Kawan saya, Eser, bukannya seorang yang menyokong mereka atau bola sepak Jerman (malah, dia lebih gilakan Manchester United dan Fenerbache; sekarang dia menjadi seorang peminat kumpulan bolasepak Crystal Palace), merasa agak tertarik kepada baju dan warna tersebut sehingga dia memutuskan untuk membeli baju itu. Ianya langsung dipakai ke mana jua; kalau kita hendek pergi menonton filem di panggung wayang, baju itu juga yang dipakai.

Adakah ini bermaksud bahawa Borussia Dortmund dan warna kuning (dan yang sewaktu dengannya) boleh dianggap sebagai hipster dari penghujung abad ke-20? Saya tidak pasti, tetapi sekarang saya ingin mengenalkan anda semua kepada Encik Eddie Jordan.

Siapakah Eddie Jordan? Dia adalah bekas pengurus dan pengasas kumpulan Formula 1, Jordan. Mereka mula bertanding di gelanggang F1 pada awal tahun 90an, dan pada penghujungnya, mereka mula mencatat markah dan kemenangan yang memberansangkan.

Damon Hill berjaya meraih kemenangan mereka pertama di Spa-Francorchamps pada tahun 1998, dan di tahun seterusnya, Heinz Harald Frentzen meningkatkan lagi prestasi mereka. Dia memberi satu cabaran kejohanan pemandu Formula 1 yang kuat, bertarung dengan Mika Hakkinen dan Eddie Irvine, hingga beberapa pusingan yang terakhir. Bagi satu kumpulan yang tidak mempunyai latar belakang yang besar di dunia korporat, ianya sebuah kumpulan yang kecil yang hampir mencapai impian yang diidamkan oleh ramai pelumba di seluruh dunia. Makanya ramai orang yang mula menyokong mereka, terutamanya orang yang berminat dengan pencapaian kumpulan yang lebih kecil di Formula 1.

Warna Jordan? Kuning.

Beberapa tahun selepas itu, Eddie Jordan menjelaskan dalam sebuah temuduga bahawa walaupun dia hampir digelar juara dunia, ada ramai juga orang yang berpendapat bahawa dia tidak patut menang kejohanan tersebut. Kononnya, ianya akan memberikan kesan yang negatif kepada cara kumpulan Jordan telah dipasarkan, dan mengurangkan tarikan bagi orang ramai. Konsep tentang apa yang bagus buat kumpulan Jordan…diramalkan oleh mereka yang lebih beruntung jikalau Jordan tidak dilihat sebagai pemenang, dan sekaligus dimasukkan ke arus yang lebih perdana.

Mereka dianggap sebagai pilihan hipster dan alternatif, kerana mereka tidak menang. Seperti Borussia Dortmund.

Seperti Bersih.

Dan sekarang kita kembali ke apa yang saya jelaskan tadi. Perhimpunan Bersih yang telah diadakan beberapa kali di Malaysia merupakan satu acara yang terjebak di sejarah sebagai titik permulaan sesuatu yang tidak dijangka oleh ramai orang. Ianya bergerak sebagai satu cara penyampaian pesanan kepada pihak-pihak yang tertentu. Ianya diterima oleh orang ramai dengan cara yang berlainan, tetapi yang pentingnya adalah…ianya menggunakan warna kuning sebagai satu cara mengagihkan lagi perbezaan di antara mereka yang menyokong pihak-pihak berlainan. Objektif dan misi dan visi mereka tidak semestinya selaras dengan penyokong Bersih yang lain; akan tetapi, warna kuning telah digunakan sebagai satu cara menunjuk perasaan yang lebih alternatif.

Saya merujuk kepada soalan yang dikemukakan di awal penulisan ini.

Adakah warna kuning secara umumnya dianggap sebagai warna alternatif? Ini merupakan sesuatu yang menarik bagi saya pertikaikan kerana, walaupun saya tidak ingin menyatakan bahawa warna ini sahaja yang boleh digunakan buat objektif-objektif tersebut, sebagai sesuatu yang boleh mengatasi masa, ruang, lokasi dan sebagainya, ianya telah disiratkan kualiti-kualiti yang ramai orang kenal sebagai alternatif. Bebas.

Hipster.

Siapakah yang menentukannya? Pihak manakah yang memutuskan ini?

Yang lebih penting adalah ini: pergerakan hipster, alternatif, independent dan sebagainya menggunakan pertentangan dengan arus perdana sebagai sesuatu yang membentuk kewujudan mereka. Mereka adalah lain kerana mereka tidak menggunakan idea atau cara yang ditetapkan oleh orang lain. Lain sebab mereka lain.

Warna kuning telah ditetapkan oleh ramai orang sebagai warna yang diberikan kualiti-kualiti tersebut.

Makanya…jikalau itu memang benar, adakah definasi prinsip yang telah diberikan kepada warna tersebut boleh dianggap sebagai mainstream? Bolehkah kita sekarang, dari segi politik, sukan dan sebagainya, melihat bukan sahaja warna kuning ini, tetapi warna-warna yang lain yang sewaktu dengannya, tanpa memikirkan konotasi yang tersirat seperti yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak yang tidak boleh dikenalpasti?

Just how hipster, then, is the colour yellow?

Comments