Nasihat


Salam semua,

Semenjak beberapa hari yang lalu, saya menerima banyak soalan mengenai isu-isu yang telah saya jelaskan di dalam kelas dan juga melalui lecture slides yang telah saya sediakan dan sebarkan kepada anda semua.

Namun, masih ada ramai yang tanya saya tentang hal-hal seperti diegesis of frame, temporal frequency dan sebagainya. Ini telah saya ajar di dalam kelas, tetapi kalau masih ada yang tidak faham, saya boleh terima.

Mungkin ada sesuatu tentang cara saya mengajar yang tidak cukup bagus untuk memastikan bahawa anda semua dapat apa yang saya ingin sampaikan. Mungkin penggunaan Bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa utama di dalam kelas ini (dan saya ingin ingatkan bahawa bahasa inilah bahasa rasmi pengajaran di universiti ini) yang menyebabkan ketidaksampaian maklumat tersebut.

Yang saya hairan itu ialah kenapa sebelum ini, soalan dan isu ini tidak timbul. Setiap kali saya ada kelas dengan anda semua, di penghujung setiap kelas yang saya ajar, saya tanya kalau sesiapa ingin tanya sesuatu, kalau ada sesiapa yang ada soalan tentang apa yang saya telah ajar. Jarang ada orang tanya saya sesuatu tentang semua ini, tapi sekarang, sehari sebelum anda semua harus hantar skrip dan assignment yang lain, ada ramai yang hantar pesanan melalui SMS, Whatsapp, Facebook dan sebagainya untuk mendapat tahu tentang maklumat yang telah saya tekankan di dalam kelas kita.

Mungkin kerana markah tidak diberikan untuk apa yang awak faham dalam kelas, hanya untuk assignment sahaja. Mungkin ada sebab yang lain, mungkin saya sendiri yang salah. Tetapi kalau itu benar, kalau sepanjang masa ini markah itu lebih diutamakan daripada ilmu pengetahuan yang sebenarnya lebih penting di dunia luar dari universiti ini, itu menyedihkan saya. Ini telah sampai tahap di mana 30 minit masa anda dalam consultation dengan saya dihabiskan dengan penyeruan untuk saya berikan markah buat kerja yang tidak dibuat atau dihantar menurut cara dan masa yang ditentukan.

Dari pengalaman saya, walaupun markah atau gred yang diperolehi di universiti atau kolej itu penting, kebolehan kita untuk bertutur dengan cara yang bagus, menulis dengan pintar dan menjalankan tugas secara lancar, itulah yang sangat dihargai oleh ramai orang di mana-mana industri atau negara.

Pengajian anda semua di sini hampir lengkap. Sudah lima semester dan lebih dari dua tahun di FiTA telah dialami.

Saya bukan seorang yang sempurna sebagai pensyarah, dan masih ada banyak lagi yang saya harus tahu dan belajar. Tetapi ada perbezaan yang besar diantara belajar untuk mencari markah dan belajar untuk mencari ilmu dan pengalaman. Saya harap anda semua dapat mencari perbezaan tersebut, dan gunakan apa yang awak telah peroleh di universiti ini dengan cara yang baik di masa depan.

Semoga berjaya.

Comments