Saturday, March 23, 2013

Wahai Anak Muridku



Dalam penulisan blog ini, saya ada beberapa isu yang saya ingin kemukakan. Keinginan saya adalah untuk, sedikit sebanyak, memberi apa ilmu dan pengetahuan yang saya mampu. 

Ilham dan pengetahuan. Pada asasnya, ini adalah sesuatu yang unik dan sukar untuk diberikan hanya satu definisi yang memuaskan. Bagi orang yang berlainan, nilai pengetahuan dan pengalaman mereka boleh diberikan satu nilai yang lebih tetap, seperti nilai wang. Bagi saya, ini adalah sesuatu yang saya mencari melalui apa saja peluang membaca yang dikurniakan, setiap buku satu kelas, satu pengajaran yang mengingatkan saya bahaya perjalanan kita di dunia ini, mahu atau tidak, adalah perjalanan tanpa penghujungnya.

Bagaimana pula dengan ilham? Bagaikan sesuatu yang dirasa, tetapi sukar digambarkan, ilham memberi kita satu inspirasi untuk menyatakan cita-cita kita, menukar apa yang tersirat di hati dan minda kepada sesuatu yang boleh disampaikan dan, kalau kita bernasib baik, dihargai oleh orang lain.

Walau bagaimanapun, semua ini tertakluk kepada idea bahawa kita semua mempunyai satu impian, satu penghujung dan objectif yang ingin dicapai.

Pada awalnya, bila anda semua berada di titik permulaan pendidikan anda di Puncak Perdana, mungkin anda semua ada idea, ilham, inspirasi dan idaman yang lain dibandingkan dengan sekarang. Semuanya berubah, termasuk diri kita sendiri. Ini adalah satu fakta hidup yang mungkin kurang menyenangkan bagi sekalian, dan, kalau saya jujur, diri saya sendiri, tetapi jalan hidup kita penuh dengan pilihan dan peluang yang berlainan.

Dan inilah yang saya ingin jelaskan. Dalam hidup ini, peluang itu bukannya sesuatu yang diberikan sekali sahaja. Ada kemungkinan besar yang kita berfikir peluang itu terlepas apabila temuduga buat jawatan impian kita terjejas kerana kita tidak berjaya menarik perhatian orang lain. Mungkin ianya bila kita gagal untuk menemui objektif yang telah ditetapkan oleh orang atas. Mungkin seseorang seperti Prof Razak atau David Teo, mungkin mereka yang lebih dekat seperti keluarga atau kekasih kita, mungkin diri kita sendiri.

Tetapi yang penting adalah kita tidak lupa pengajaran yang diberi melalui pengalaman pahit. Mungkin dari segi peribadi, dan dari segi profesional, tetapi pengalaman itu memang akan terasa lebih pahit dari segelas kopi o kosong di dining. Dalam kepahitan itu, sebenarnya, ada kemanisannya, kerana melalui kepahitan tersebut kita akan lebih menikmati kemanisan di masa depan; walaupun secebis, ianya seperti madu bagi lebah yang dahaga.

Baru-baru ini, melalui sebuah podcast berjudul Scriptnotes, penulis skrip Craig Mazin (The Hangover dan Identity Thief) menerangkan bahawa kejayaan bagi seorang watak dalam sebuah filem sebenarnya adalah sesuatu yang kurang menarik. Apa yang memberikan perisa yang lain buat kejayaan tersebut ialah kepahitan pengalaman yang dapat dirasa melalui kegagalan watak tersebut. Ianya juga mecerminkan jalan hidup kita sendiri. Drama ialah jalan cerita yang menggambarkan kesusahan yang dialami, bukannya apa yang dijumpai di penghujung jalan. Apa yang kita anggap sebagai anugerah itu hanya dapat dinikmati sepenuhnya bila kita sudah gagal, kerana yang pahit itu wujud tanpa yang manis, tetapi yang manis itu tidak boleh dirasai tanpa yang pahit.

Segalanya berubah. Ini adalah fakta hidup yang tidak boleh diubah. Walaubagaimanapun, yang penting adalah percubaan untuk memastikan bahawa kegagalan itu boleh dielak atau dilewatkan sebanyak. Mencari rezeki, ilham dan inspirasi tidak sama seperti mencari pasal, dan walaupun kedua-dua pilihan tersebut membawa hikmahnya tersendiri, pilihlah dengan bijak, kerana sekarang ini ialah masa anda.

Masa anda. Pengalaman anda. Ilham, inspirasi, dan impian anda. Ini adalah milik anda semua, dan ianya harus dipertahankan sepenuhnya, kerana tiada siapa pun berhak untuk mengambil semua ini dari anda. Termasuk saya.

Hidup anda.

Semoga berjaya.

No comments: